Sudut Ilmu

Kajian Ilmiah

|

Jul 2025

|

5 minit baca

MUḤAMMAD ﷺ CAHAYANYA PENYULUH KEGELAPAN

Sambutan Maulidur-Rasul adalah suatu kesyukuran kepada Allah ta^ala di atas pengutusan Baginda Muḥammad ﷺ pada bulan Rabi^ul-Awwal, ia bukan makna penyembahan terhadap baginda Muḥammad.
 
Kita sesekali tidak menyembah Muhammad dan tidak juga menyembah selain dari Allah ta^ala. Tetapi, kita hanya mengagungkannya dengan pengagungan yang sungguh-sungguh sahaja. Kita memuliakan dan mengagungkan Muḥammad lebih dari nabi-nabi yang lain dan lebih dari para malaikat. Kemudian setelah itu kita mengagungkan setiap nabi-nabi tanpa kita menyembah seorangpun dalam kalangan mereka.
 
Kita tidak menyembah Muḥammad dan mana-mana malaikat, tidak menyembah mana-mana bintang, matahari dan bulan. Penghabisan ketundukan di sisi kita adalah hanya kepada Allah ta^ala sahaja. Kita meletakkan dahi-dahi kita ke bumi sebagai tanda ketundukan kita kepada Allah taala. Penghabisan ketundukan itulah makna penyembahan. Kita tidak akan melakukan perkara ini kepada penghulu kita Muḥammad ﷺ. Ibadah dengan makna penyembahan hanya kita lakukan kepada Allah ta^ala sahaja.
 
Kita tidak menyembah Muḥammad bahkan kita mengganggap baginda adalah _da^i_ atau penyeru kepada jalan Allah ta^ala. Baginda memberi petunjuk kepada manusia dan berhak mendapat pengangungan dan ianya jauh tidak sampai ke tahap menyembah baginda.
Allah ta^ala telah memuji golongan yang beriman kepada baginda ﷺ dan mengagungkan baginda serta memuliakan baginda. Firman Allah ta^ala dalam surah al-A^rāf, ayat 157:
 
*فَالَّذِينَ ءامَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذي أُنْزِلَ مَعَهُ أُولئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون*
 
Mafhumnya: “Adapun golongan yang beriman kepadanya [Muhammad], memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya”
 
والله أعلم وأحكم

AW

Admin Website Baitussaadah