Sudut Ilmu

Artikel

|

Jul 2025

|

5 minit baca

Menanam Di Dunia, Menuai Di Sana

Sudah menjadi lumrah insan, dunia ini dipenuhi keindahan yang menggoda pandangan dan harapan yang menabur janji. Namun, di sebalik hiruk-pikuk kehidupan yang fana ini, ada suatu hakikat yang tidak boleh kita nafikan iaitu; kita hanyalah musafir yang singgah sebentar di sini, sebelum meneruskan perjalanan menuju ke alam yang kekal abadi.

Maka, alangkah ruginya jika segala tenaga dan masa kita hanya ditumpahkan untuk yang sementara, sedang bekalan untuk negeri abadi masih kontang dan gersang.

Hati yang sedar pasti tahu menimbang antara yang cepat binasa dan yang tidak akan binasa. Benarlah kata ulama, “Dunia ini tempat kita bercucuk tanam, akhirat itulah tempat kita menuai”. Justeru, biarlah setiap langkah, tutur kata dan hati kita menjadi saksi bahawa kita sedang bersungguh mempersiapkan diri, bukan hanya untuk hidup di sini, akan tetapi untuk kehidupan yang tiada noktah di sana.

Bukankah syurga itu dambaan kita, dan neraka itu suatu tempat yang ngeri?

Telah berkata ulama:

“Beramallah kamu untuk duniamu menurut kadar lamanya kamu akan singgah di atasnya.
Beramallah kamu untuk akhiratmu menurut kadar kekalnya kamu di sana.
Beramallah kamu untuk syurga menurut kadar berhajatnya kamu kepadanya.
Beramallah kamu untuk neraka menurut kadar sabarnya kamu terhadap azab seksa di dalamnya.”

Kata-kata ini bukan sekadar nasihat, tetapi panduan untuk jiwa yang ingin selamat. Mari kita perhalusi arah tuju kita, muhasabah diri kita, dan perbaiki amal kita. Kerana saat kita meninggalkan dunia yang fana ini, yang kekal hanyalah apa yang telah kita usahakan demi menagih reda-Nya semata.

AW

Admin Website Baitussaadah