Antara nasihat Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada suami, dinyatakan dalam hadis yang berbunyi:
خيركم خيركم للنساء
Mafhumnya: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling berlaku baik dengan isterinya”, sesungguhnya yang paling bagus muamalahnya dengan isteri, itulah yang terbaik dari kalangan kamu”.
Seorang muslim itu akan jadi lebih mulia apabila dia berlaku baik terhadap isterinya. Layani isteri dengan lemah lembut, penuh dengan kasih sayang dan belas kasihan Kebanyakan lelaki zaman sekarang tidak mencontohi cara Nabi. Mereka langsung tidak merendah diri bahkan bersifat angkuh terhadap isteri mereka. Sepatutnya suami perlu bersifat rendah diri, berkelakuan baik terhadap isterinya dengan memberi sedikit kebebasan, memaafkan atas tingkahlaku buruk isterinya dan tidak membalas keburukan dengan keburukan.
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم lagi:
خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
Maksudnya : “Sebaik-baik kamu adalah yang paling berlaku baik kepada ahli keluarganya.. Dan aku ini adalah yang paling berlaku baik terhadap ahli keluargaku”.
Rasulullah apabila keluar, baginda akan datang ke pintu isterinya yang bukan gilirannya pada hari itu seraya memberi salam :
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته أهل البيت
Kemudian baginda datang ke pintu isteri yang lain pula dan memberi salam dan begitulah seterusnya. Lihatlah betapa hebatnya Nabi kita. Isteri manakah yang tidak gembira bila diperlakukan demikian.