Firman Allah ta^ala dalam surah al-Najm ayat 5-7 :
عَلَّمَهُۥ شَدِيدُ ٱلۡقُوَىٰ ٥ ذُو مِرَّةٖ فَٱسۡتَوَىٰ ٦ وَهُوَ بِٱلۡأُفُقِ ٱلۡأَعۡلَىٰ ٧
Mafhumnya: “Nabi Muhammad diajar oleh Jibril yang sangat kuat, yang gagah perkasa, dia telah menampakkan dirinya dengan rupa asal sedang dia berada di ufuk yang tinggi”
Allah menyifatkan Jibril sebagai malaikat yang sangat kuat. Demikian itu kerana dialah yang membalikkan perkampungan kaum Nabi Lut.
Allah memerintahkan Jibril membinasakan mereka kerana mereka telah mendustai nabi-nabi mereka dan melakukan perbuatan yang terkutuk. Allah kumpulkan mereka semua dan perintahkan Jibril melingkupkan tempat yang mereka diami.
Malaikat Jibril mula mencungkil bumi yang mereka diami lalu diangkat tinggi ke langit kemudian dilingkupkan lalu semua mereka mati tanpa kelihatan satu mayatpun, kerana mereka dimasukkan sedalam-dalamnya ke dalam tanah.
Kemudian dalam ayat yang sama turut dijelaskan bahawa malaikat Jibril menampakkan rupa asalnya di hadapan Nabi Muhammad. Nabi berdoa kepada Allah agar diperlihatkan rupa asal Jibril lalu Allah memperkenankan. Jibril menampakkan rupa asalnya yang begitu besar. Dia mempunyai 600 sayap.
Dengan satu sayapnya sahaja telah memenuhi langit dan bumi. Nabi Muhammad dapat melihat Jibril dengan rupa asal sebanyak dua kali. Kali pertama adalah sebelum berlaku peristiwa Mi^raj dan kali kedua di Sidratul-Muntaha.