Sesungguhnya pemuka-pemuka musyrikin Quraisy telah berkata kepada Abu Talib: “Katakanlah kepada anak saudara kamu; jika dia hendakkan kemuliaan, kami akan berikan kepadanya dan kami tidak akan melakukan sesuatu perkara melainkan setelah mendapat nasihat daripadanya; dan jika dia hendakkan harta nescaya kami akan mengumpulkan harta baginya sehingga dia menjadi orang yang paling kaya dikalangan kami; dan jika sekiranya dia inginkan pemerintahan maka kami akan melantiknya sebagai ketua kepada kami”. Kemudian Abu Talib menemui Rasulullah dan bersua wajah dengan Rasulullah dan memberitahu tentang permintaan tersebut. Lalu Rasulullah yang sangat mulia ‘alaihis-salam bersabda:
واللهِ يَا عَمّ لو وضعوا الشمس في يميني والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر ما تركته حتى يظهره الله أو أهلك دونه
Mafhumnya: “Wahai bapa saudaraku, Demi Allah, sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku untuk aku meninggalkan perkara ini (dakwah ini), aku tidak akan meninggalkannya sehingga Allah menzahirkan agama ini atau aku mati”. Hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam kitabnya Dala’ilun-Nubuwwah.