Adakah Terdapat Pada Zaman Salafus-Soleh Pembahagian Tauhid Kepada Tiga Bahagian?

Aqidah

SOALAN:

Adakah terdapat pada zaman Salafus-Soleh pembahagian Tauhid kepada tiga bahagian; Tauhid Rububiyyah, Tauhid al-Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ was-Sifat?

JAWAPAN:

Tidak ada. Pembahagian tauhid yang bid^ah lagi palsu ini tidak pernah diketahui oleh para Salafus-Soleh. Sesiapa yang menyandarkan pembahagian ini kepada Salafus-Soleh, maka pasti dia adalah seorang yang bukan Ahlus Sunnah Wal Jamaah[1]. Meskipun seseorang itu meletihkan dirinya sepanjang masa, dia tidak akan menjumpai pembahagian ini dalam ucapan para ulama seperti al-Imam al-Syafi^i dan selainnya dalam kalangan para ilmuan pada zaman Salafus-Soleh.

Pembahagian ini direka oleh Ibnu Taymiyyah al-Mujassim yang meninggal pada tahun 728 H. Ibn Taymiyyah bukanlah Salaf sama ada dari sudut masa mahupun dari sudut keyakinannya kerana dia mempunyai percanggahan yang amat ketara dengan para Salafus-Soleh sama ada pada perkara-perkara pokok dalam agama atau pada perkara-perkara furuk. Dia adalah hamba yang tidak diberikan taufiq bahkan disesatkan oleh Allah taala sebagaimana keterangan al-Faqih Ibn Hajar al-Haitami  dalam kitabnya al-Fatawa.

Dalam menangkis dakwaan adanya pembahagian tauhid ini, didatangkan hadith pertanyaan kubur yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ahmad:

“وَيَأْتِيهِ (أي المؤمن) مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولاَنِ لَهُ: مَنْ رَبُّكَ فَيَقُولُ: رَبِّيَ اللَّهُ”

Mafhumnya: “Seseorang (yang beriman) itu akan didatangi oleh dua malaikat lalu kedua-duanya mendudukkan si mati. Kedua-dua malaikat tersebut bertanya kepada si mati: Siapakah Tuhanmu? Jawabnya: “Tuhanku adalah Allah”.

Sekiranya  Tauhid Rububiyyah itu adalah suatu yang berbeza dengan Tauhid Uluhiyyah sudah tentu pertanyaan malaikat itu tidak kena pada tempatnya atau jawapan yang diberikan oleh orang yang beriman itu kepada kedua malaikat tersebut tidak kena pada tempatnya. Kedua-dua perkara ini pasti bathil.

Al-^Allamah al-Syaikh Yusuf al-Dijwi (w. 1948 R) yang merupakan ulama mazhab Maliki yang terkemuka di Mesir pada zamannya dan juga merupakan salah seorang anggota Pertubuhan Ulama terkemuka Azhar Mesir berkata [2]:

“Pendapat mereka (pengikut Ibn Taymiyyah) bahawa tauhid itu terbahagi kepada Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah adalah pembahagian yang tidak diketahui oleh sesiapapun sebelum Ibn Taymiyyah. Rasulullah tidak pernah mengatakan kepada sesiapapun yang baru memeluk agama Islam: “ Di sana ada dua jenis tauhid, sesungguhnya kamu tidak akan jadi muslim sehinggalah kamu bertauhid dengan Tauhid Uluhiyyah”. Nabi juga tidak pernah mengisyaratkan ada pembahagian ini walaupun dengan satu isyarat. Tidak pula didengari pembahagian tersebut daripada para Salafus-Soleh yang al-Wahhabiyyah beriya-iya sangat mahu mengikutinya dalam semua perkara sedangkan mereka pada hakikatnya berdusta. Tambahan lagi, pembahagian tauhid ini juga tidak mendatangkan sebarang makna dan erti. Sesungguhnya (الإله الحق) ILAH yang sebenar Dia jugalah (الرب الحق) RAB YANG SEBENAR”. Begitulah dijawab kepada mereka bahawa: “ucapan dan pembahagian REKAAN kamu adalah hujah ke atas kamu sendiri”.

Memadai bagi menolak golongan bid^ah tersebut dengan hujah bacaan yang dibaca oleh seorang muslim pada setiap rakaat dalam solatnya pada setiap hari iaitu bacaan dalam Surah al-Fatihah: 

الحمد لله رب العالمين

Mafhumnya : “Segala puji bagi Allah, Tuhan bagi sekalian alam”.

Ayat ini sahaja sudah cukup menolak mereka. Kerana “ILAH yang berhak baginya segala pujian adalah Allah”. Allah adalah ILAH/ إله yang baginya  ketuhanan/ الألوهية; iaitu Tuhan yang menjadikan sesuatu daripada tiada kepada ada. Dan Dialah juga “RAB sekalian alam” iaitu RAB/رب yang berhak baginya RUBUBIYYAH /الربوبية dengan erti kata lain dialah yang memiliki segala sesuatu.

Justeru,Tauhid Rububiyyah adalah juga Tauhid Uluhiyyah, tiada perbezaan antara kedua-duanya. Antara hujah yang menunjukkan kebenaran perkara tersebut adalah  kenyataan yang disebut oleh Ibn Khalawaih (w. 370 H) dalam kitabnya Fi I^rabil-Quran yang merupakan antara ulama terkemuka dalam bahasa Arab dan nahu, katanya:

إن لفظ “ربّ” مجرور إما على أنه نعت لله أو بدل من لفظ لله.

Maksudnya: “Sesungguhnya lafaz (رب) adalah majrur sama ada ia adalah (نعت) iaitu sifat bagi kalimah Allah atau (بدل).

Maka dalam dua situasi tersebut dia adalah allah yang berhak baginya uluhiyyah dan rububiyyah. Maka Allah Dia adalah RAB sekalian alam dan RAB sekalian alam adalah Allah. Ayat ini sahaja adalah cukup untuk menolak golongan al-Musyabbihah (termasuk al-Wahhabiyyah) yang menyangkakan ada perbezaan antara Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah”.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-^Asqalani dalam menghuraikan Kitab Tauhid dalam Sohih al-Bukhari [3] mengatakan :

وأما أهل السنة ففسروا التوحيد بنفي التشبيه والتعطيل، ومن ثم قال (إمام الصوفية) الجنيد فيما حكاه أبو القاسم القشيري: “التوحيد إفراد القديم من المحدث”.

Maksudnya: “Ahlus-Sunnah wal- Jama^ah mentafsirkan tauhid dengan erti penafian daripada tasybih (penyerupaan Allah dengan makhlukNya) dan ta^thil (penafian terhadap zat dan sifat Allah ta^ala)”. 

Justeru, (imam bagi golongan sufi) al-Junaid sebagaimana diriwayatkan oleh Abul-Qasim al-Qusyairi mengatakan :  “Tauhid adalah menunggalkan yang qadim (Allah) daripada yang yang baharu (makhluk)”.

Tauhid Uluhiyyah termasuk dalam keumuman Tauhid Rububiyyah berdasarkan dalil Allah taala mengambil perjanjian dengan zuriat Adam alaihis-salam. Allah ta^ala berfirman kepada mereka (malaikat yang menyampaikan daripada Allah ta^ala bahawa Allah ta^ala berfirman kepada zuriat Adam): (ألستُ بربكم) “ Bukankah aku Tuhan kamu sekalian? Allah ta^ala tidak berfirman : (ألستُ بإلهكم).  Dan menjadi suatu perkara yang maklum, sesiapa yang mengakui bahawa bagi Allah ta^ala (الربوبية) maka dia juga menyakini bagi Allah ta^ala (الألوهية).

والله أعلم وأحكم

Rujukan :

[1] Resolusi seminar PIPK II, APIUM, Universiti Malaya (20-22 JULAI 2010).

[2] Dinukilkan juga oleh Abu Hamid Bin Marzuq (  Syaikh Muhammad ^Arabi Al Tubbani) dalam kitabnya Baraah al Asy^ariyyin Min ^Aqaid al Mukhalifin,Percetakan al ^Ilm- Dimasq,jilid 1,hlm 166-167.

[3] Lihat Ibn Hajar Asqalani, Fath Al-Baari Syarh Sohih al Bukhari,jilid 20,hlm 437.