Hari ^Asyura’ adalah hari yang kesepuluh dari bulan Muharram. Pada hari itu Allah menyelamatkan Sayyidina Nabi Nuh ^alaihis-salam dan yang  bersama dengan baginda dari bencana taufan. 10 haribulan Muharram itu juga Allah menyelamatkan Sayyidina Nabi Musa dan pengikutnya yang muslimin daripada Firaun yang zalim dan kafir.

Al-Imam Ahmad telah meriwayatkan dalam kitabnya Musnad Ahmad daripada Abu Hurairah radiyaLlahu ^anhu  dan dia telah berkata: “Rasulullah telah lalu di hadapan kelompok golongan Yahudi dan mereka berpuasa pada Hari ^Asyura’, maka Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Puasa apakah pada hari ini?”. Lalu mereka menjawab: “Inilah hari yang Allah telah menyelamatkan Musa dan Bani Israil daripada tenggelam dan menenggelamkannya Firaun dan pada hari itu juga Allah menetapkan bahtera Nabi Nuh di atas bukit maka puasa ini kerana Nuh dan Musa sebagai tanda syukur kepada Allah”. Maka Nabi sollaLlahu ^alaihi wa sallam bersabda: “Aku lebih layak dengan Musa dan aku lebih berhak untuk berpuasa pada hari ini”. Lalu Rasulullah memerintahkan para sahabatnya untuk berpuasa pada Hari ^Asyura’”.

Hari Tasu^a’: Begitu juga disunatkan berpuasa Hari Tasu^a’ bersama Hari ^Asyura’ iaitu hari kesembilan bulan Muharram kerana sabda baginda sollaLlahu ^alaihi wa sallam: “Jika sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa hari kesembilan (bulan Muharram)” – iaitu bersama hari kesepuluh (Hari ^Asyura’) [Diriwayatkan oleh al-Imam Muslim].

Hikmah daripada puasa pada sembilan haribulan Muharram itu seperti kata sebahagian ulama ialah untuk menyalahi perbuatan orang-orang Yahudi kerana mereka hanya berpuasa pada sepuluh haribulan Muharram sahaja. Jika sekiranya seseorang itu berpuasa ^Asyura’ tanpa disertai dengan puasa Tasu^a’ sebelumnya, maka disunatkan baginya untuk berpuasa ^Asyura’ berserta dengan puasa hari yang kesebelas. Al-Imam al-Syafi^i telah menaskan bahawa sunat berpuasa pada ketiga-tiga hari tersebut (iaitu sembilan, sepuluh dan sebelas haribulan Muharram).

ﻭﺍﻟﻠﻪ ﺃﻋﻠﻢ ﻭﺃﺣﻜﻢ