Wahai penuntut ilmu termasuk diriku,
Luruskanlah niatmu, kuatkan azammu, kerana perjalanan ini bukan sekadar langkah di bumi, tetapi ia juga adalah titian menuju redha Ilahi. Ilmu yang kita tuntut ini bukan sekadar perhiasan akal, tetapi juga ia laksana pelita yang menyuluh jalan, membimbing hati yang dahaga akan hakikat dan makna kehidupan.
Hadirlah ke majlis ilmu dengan jasad dan hatimu. Rasailah kemanisannya, kerana di situ adanya barakah yang menyuburkan jiwa, sakinah yang menenangkan hati, serta doa-doa malaikat yang mengiringi setiap langkahmu.
Ingatlah, jika kau mengimpikan ketinggian darjat di dunia dan akhirat, maka bersahabatlah dengan ilmu. Ikhlaskan niatmu, kerana tanpa keikhlasan, ilmu itu ibarat pohon yang tidak berbuah. Dan jangan pula dikau biarkan ilmumu sekadar tersemat di relung dadamu, akan tetapi amalkanlah ia hingga ia menjadi cahaya yang menerangi hidupmu dan hidup insan yang lain.
Biar pun jalan menuntut ilmu ini penuh berliku, biar pun payahnya menggoncang ketabahanmu, jangan sekali-kali dikau goyah lalu berpaling. Bersabar-tabahlah, kerana kepayahan itu sebanding dengan tingginya cita-citamu. Semakin besar impianmu, semakin hebat ujian yang akan dikau tempuhi. Namun percayalah, di hujung kesabaran itu nanti akan ada kemanisan yang hanya dapat dirasai oleh mereka yang tetap teguh di jalan ini.
Teruskan melangkah, wahai diri yang cintakan ilmu. Ingatlah olehmu sentiasa bahawa kadar kepayahan yang bakal kamu lalui mengikut kadar tingginya cita-cita-mu.