Sudut Ilmu

Artikel

|

Jul 2025

|

5 minit baca

Sampai Bila?!

Sampai bila diri mahu terus terbuai dalam mimpi yang panjang? Iya, kita sedar bahawa dunia ini hanya tempat persinggahan yang sementara, bukan destinasi abadi.

Namun, terkadang kita terlalu leka menghias persinggahan ini seolah-olah akan kekal selamanya di sini. Ibarat kita membina istana impian di atas tanah yang pasti runtuh, mengumpul harta seolah-olah akan hidup seribu tahun lagi. Lelah yang tidak berkesudahan..

Penyair pernah berpesan:

“Sampai bila engkau mahu terus tertipu dan terus lalai? Berapa lama lagi engkau mahu tidur, dan bilakah waktunya engkau mahu bangun?”

Tidakkah kita melihat? Berapa ramai yang menyambut pagi, namun tiada sempat menutup tirai petangnya? Berapa ramai yang merancang hari esok, namun tiada sempat melaksanakannya?

’Aun bin ’AbdiLlaah berkata:

“Berapa ramai yang memasuki hari namun tidak sampai ke penghujungnya? Sungguh ramai orang yang menunggu hari esok namun tidak meraihnya. Sekiranya engkau melihat ajal dan perjalanannya untuk mendapatkanmu, nescaya engkau akan membenci angan-angan dan tipu daya dunia.”

Duhai diri, sudahlah jasad terseksa mengejar dunia yang fana, jangan pula rohmu lebih terseksa di alam kubur nanti. Keletihanmu mencari rezeki di dunia hanyalah seketika, tetapi apakah erti semua itu jika akhirnya engkau tertinggal bekalan untuk perjalanan yang lebih panjang?

Duhai diri, carilah dunia, namun jangan sampai ia meragut akhiratmu. Usah jadikan dunia sebagai tujuan, kerana ia hanya wasilah. Yang kekal hanyalah kehidupan selepas kematian.

Bekalan utama bagi kita adalah taqwa dan amal soleh, bukan timbunan wang yang tidak lagi bernilai saat mata tertutup buat selamanya.

Bangunlah dari lena! Hiduplah dengan sedar! Hidup di atas dunia hanya sekali! Jangan sampai kita tersedar hanya setelah kain kafan menyelimuti tubuh..kerana tika itu tiada lagi peluang kedua yang akan menjengah.. sama ada kita grab peluang di saat ini atau kita terlepas dan melepas.

AW

Admin Website Baitussaadah